Total Pageviews

Japan : Sapporo - Day 7

Trip Main Salji - Sapporo : Former Hokkaido Government Office (Red Brick Office), Clock Tower, Sapporo TV Tower, Nijo Market, Sapporo Snow Festival, Odori Park & Susukino 


Jumaat - 10.02.2017


Hari ke-tujuh semakin liat nak bangun. Badan dah letih dan kurang tido. Tak boleh dilayan. Nak tido lama baik duduk rumah saje. Kena kuatkan semangat juga untuk bangun dan mulakan aktiviti hari ni. 

Hari ni merupakan hari terakhir trip aku di Jepun ni. Sedih pun ada sebab banyak tempat lagi nak pergi sebenarnya. Tapi demi masa sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman. Eh, bukan itu. Sesungguhnya masa sangat mencemburuiku.

Pagi ni breakfast bubur instant saje. Harga hotel tak termasuk breakfast. Lepas makan terus keluar gerak ke Chitose Station untuk ambil train ke Sapporo Station. Janji dengan kawan aku jumpa di Sapporo Station.


Sampai di Sapporo Station singgah sekejap di Tourist Information untuk dapatkan map Sapporo. 



Lepas dapat map terus jalan kaki menuju ke destinasi pertama hari ni iaitu ke Red Brick Office. Perjalanan lebih kurang 10 minit saje dari Sapporo Station. 



Kebetulan ada Sapporo Yuki Terrace 2017 sedang berlangsung. Singgah lalu saje sambil menuju terus ke Old Goverment Office. Seberang jalan saje.


Aku ke sini sebab design bangunannya yang cantik.



Bangunan ini merupakan bekas Pejabat Kerajaan Hokkaido dan warna merah pada dinding bahagian luar adalah simbol Suruhanjaya Pembangunan Hokkaido. 



Bangunan ini telah digunakan kira-kira 80 tahun sehingga pejabat kerajaan baru yang digunakan sekarang dibina. Dibina pada tahun 1888, bangunan ini adalah satu contoh seni bina neo-baroque Amerika. 



Bangunan dan pameran sejarah Hokkaido yang terdapat dalam bangunan ini dibuka kepada orang ramai. Masuk adalah percuma. 
.


Kitorang tak masuk dalam tu pun. Hanya jalan-jalan di luar bangunan saje. Orang ramai hari ni. Susah sikit ambil gambar. Jangan harap nak ambil gambar kosong. Takde peluang langsung. 



Sekeliling kawasan ni dipenuhi dengan salji tebal. Cantik.



Lepas bergambar, kitorang gerak keluar menuju ke Clock Tower. Sebelum tu singgah tengok kejap di kawasan Sapporo Yuki Terrace 2017 semula sambil ambil gambar. Dah alang-alang lalu sini. Dalam iglu tu ada pameran dan seni. Kira macam pameran idea dan kreativiti dorang.



Kemudian kitorang sambung semula perjalanan ke Clock Tower. Takde ape sangat di Clock Tower ni sebenarnya. Tapi dah termasuk dalam salah satu attraction di Sapporo, jadi kena pergi jugalah. Cuma ambil gambar luar saje. Masuk dalam kena bayar.



Clock Tower ni dibina pada tempoh awal pembangunan Sapporo pada tahun 1878 sebagai 'Drill Hall of The Sapporo Agricultural College'. Jam tersebut dibeli daripada Boston dan dipasang pada tahun 1881. 


Kini, Clock Tower ini berfungsi sebagai sebuah muzium dengan memaparkan tentang sejarah bangunan dan Sapporo di Tingkat Satu manakala Tingkat Dua memaparkan tentang jam dan menjadi sebuah 'Ceremony Hall'.


Kemudian kitorang gerak menuju ke Sapporo TV Tower. Mula-mula tu plan nak pergi ke Sapporo Factory. Bila tengok jarak agak jauh terpaksa batalkan niat tu. Satu sebab masa. Kedua rasa malas nak jalan jauh.


Meriah juga di Sapporo TV Tower hari ni.  Kebetulan tengah ada event. 


Dibina pada tahun 1957, merupakan sebuah menara TV dengan ketinggian 147.2 meter. Terdapat observation deck pada ketinggian 90.38 meter. 


Entah ape yang buat aku leka dengan suasana meriah di sini sampai aku terlupa naik tower ni untuk tengok view Sapporo dan Odori Park dari atas. Harga tiket JPY720.


Kat sini aku jumpa susu coklat yang kitorang beli semalam di Otaru. Sedap rasanya. Jadi beli lagi dua tin. Hajat dihati nak beli banyak untuk bawak balik. Tapi takut luggage berat. Tu tanda kena datang Sapporo lagi. 

Nampak ada fridge magnet Sapporo Snow Festival 2017, kena beli ni. Harga JPY260. Kat sini banyak pilihan fridge magnet yang bertemakan Sapporo, jadi aku beli lagi tiga.



Memandangkan dah time lunch, kitorang gerak ke Nijo Market untuk cari makanan. Tak jauh sangat jalan kaki dari sini. Lebih kurang 10 minit saje.




Nijo Market ni merupakan pasar basah dan menjadi tumpuan orang tempatan dan pelancong untuk membeli produk segar dan makanan laut seperti ketam, telur salmon, landak laut dan pelbagai jenis ikan segar. 



Pasar ini dibuka dari pukul 7.00 pagi hingga 4.00 petang pada setiap hari. Selain daripada menjual barangan segar, terdapat juga restoran di sini. 



Masa jalan-jalan tengok kedai makan, terjumpa satu kedai ni tulis 'Friendly Muslim'. Jadi tanpa was-was kitorang terus masuk saje kedai ni. 



Kedainya kecil dan sempit sangat-sangat. Tapi ramai orang datang makan sini. Wife aku teringin nak rasa landak laut tapi seperti kurang berani sikit. Takut tak boleh pergi.

Kitorang order donburi salmon untuk wife aku, sotong dan nasi untuk aku dan kawan aku pulak makan donburi lamb yang menggunakan halal meat. Semua makanan ni sedap-sedap belaka. Terutama sekali donburi lamb.




Selesai makan, terus gerak ke Odori Park. Dekat dengan Sapporo TV Tower menghala ke Odori Park ni ada ice rink. Plan sebelum ni nak main ice skating kat sini. Tapi bila tengok yang main terror belaka rasa segan pulak. Tambahan masa tak cukup. Kalau main, tak sempat nak tengok yang lain.



Berhampiran dengan tempat ice rink ni, kebetulan masa kitorang lalu ada konsert rock artis Jepun. Kitorang pun join tengok konsert ni sekejap. Best juga lagu dan persembahannya. Tambah best bila dorang nyanyi lagu Final Countdown. 




Habis lagu final countdown, sambung semula perjalanan sepanjang Odori Park. Kebetulan masa jalan dorang nak start pertunjukan Ski Jumping. 


Penjaga situ pelawa orang ramai masuk dan duduk di tempat penonton yang disediakan. Kitorang ambil kesempatan tengok. First time tengok ski jumping secara live. 


Cuaca sangat sejuk. Bila duduk saja takde pergerakkan lagi rasa bertambah sejuk. Tapi demi keinginan nak menonton ski jumping kena bertahan. 



Lepas tengok jump ski, kitorang mulakan semula perjalanan sepanjang Odori Park. Meriah sangat di sini sempena Sapporo Snow Festival. Meriah dengan snow sculpture, acara-acara dan juga kedai makan. 


Banyak kedai-kedai makan dengan menu-menu menarik ada di sini. Ada yang boleh kita beli juga. Tapi sebab agak mahal dengan nilai duit kita, so tengok saje. 




Odori Park ni satu kawasan luas yang terletak ditengah-tengah Sapporo dengan panjang kira-kira 1.5 kilometer. Pada musim panas, pemandangan di sini kelihatan hijau dengan warna daun pokok, berwarna-warni pada musim luruh manakala pada musim sejuk dijadikan tapak utama untuk Sapporo Snow Festival.




Sapporo Snow Festival ni merupakan salah satu acara musim sejuk yang paling popular di Jepun yang diadakan selama seminggu setiap bulan Februari. Aku sengaja pilih tarikh ni datang ke Jepun salah satu sebab nak ambil kesempatan untuk menyaksikan sendiri snow festival.


Festival ini telah dimulakan pada tahun 1950, dimana pelajar sekolah tinggi telah membina beberapa patung salji di Odori Park. Ia kemudian telah berkembang menjadi acara besar dan dikomersilkan dengan menampilkan ukiran salji dan ais yang menarik dan menakjubkan.



Snow Festival diadakan di 3 lokasi iaitu Odori Site, Susukino Site dan Tsu Dome Site. Tapak utama adalah Odori Site. Terdapat banyak arca-arca besar dan patung-patung kecil yang diperbuat daripada salji dipamerkan disepanjang 1.5 kilometer Odori Park ni. 



Ukiran salji yang terbesar dipamerkan di tengah-tengah Odori Park. Pada malam hari akan dinyalakan lampu setiap hari sehingga pukul 10.00 malam.


Selain itu ada juga konsert dan acara lain turut diadakan oleh tuan rumah arca tersebut untuk memeriahkan lagi festival ini. Ada juga yang menggunakan ukiran salji mereka untuk dijadikan sebagai pentas persembahan.


Layan juga dengan artis-artis dorang. Wife aku paling suka layan group budak perempuan ni. Gaya macam animate dan pandai menari. Sampai habis persembahan kitorang tengok. Aku layankan saje. 





Lepas layan konsert animate, jalan lagi sampai jumpa snow sculpture yang paling top sekali iaitu Star Wars. Orang ramai kat sini sebab dorang mainkan lampu dan muzik. Kitorang pun layan juga berulang kali. Menarik sangat. Serius tak puas.



Kena gerak juga. Sambung jalan lagi sampai ke hujung. Gigihkan. Semangat tu penting. Dalam meredah cuaca yang teramat sejuk. Dorang ada sediakan ruang untuk memanaskan badan dibeberapa tempat. So boleh masuk tempat tu untuk panaskan badan dan berehat kalau tak larat.



Setelah habis keseluruhan Odori Park sudah dijelajah, kitorang ambil train Toho Subway Line ke Susukino. Tambang JPY250. 


Hari dah malam. Perut dah lapar. Ayuh, kita pergi makan ramen halal. Kedai ni telah direkomenkan oleh seorang student Malaysia yang kitorang jumpa masa trip pertama dulu di Kyoto. 

Sampai hari ni wife aku dengan budak ni masih keep in touch. Dia cuma bagitau nama kedai saje. Sebelum keluar tadi, wife aku sempat cari alamat dan gambar kedai bagi memudahkan kitorang cari nanti.

Nama kedai ramen yang kitorang nak pergi ni ialah Genghis Khan. Kedai ni merupakan kedai 'Muslim Friendly'. Keluar dari Susukino Station pergi belah kiri sampai penghujung bangunan lepas tu masuk kiri dan jalan terus sampai jumpa kedai tu. 

On the way ke kedai ramen, kitorang melalui Susukino Site, dimana ice sculpture competition diadakan di sepanjang jalan ini. Meriah juga.




Sampai di kedai tu kena beratur panjang dan lama. Ramai orang. Kedai kecil saje. Dalam banyak-banyak kedai ramen, hanya kedai ni saje orang beratur panjang. Kebanyakkannya orang dorang juga. Bertabahlah beratur dalam suhu yang sejuk beku.


Sementara wife aku beratur, aku pergi tengok ukiran ais dan ambil gambar. Jauh juga aku pergi. Balik semula, wife aku masih beratur lagi. Aku teman dia kejap, lepas tu aku pergi tengok balik ice sculpture bahagian lain pulak. 



Datang balik, masih beratur lagi tak dapat masuk kedai ramen tu lagi. Sampai wife aku bising suruh beratur sama-sama dalam kesejukkan.


Lama gile beratur tunggu giliran. Bila sampai giliran kitorang, masuk duduk, kemudian dorang bagi menu. Dorang dah tau yang kitorang ni muslim, jadi dorang bagi kitorang menu halal.


Aku order 2 ramen dan satu gyoza. Ramen tu memang sedap rasanya. Berbaloi beratur lama semata-mata nak makan ramen. Portionnya banyak. Wife aku sampai tak boleh nak habiskan. Aku tak mampu nak tolong habiskan makanan dia sebab kenyang sangat. Patutlah makcik depan aku pun mengah nak habiskan makanan dorang tadi.




Lepas makan, kitorang terus balik semula ke subway untuk balik ke Sapporo Station. Memandangkan hari dah malam, aku rasa baik aku terus balik sebab nak kena kemas beg. Esok awal pagi nak balik ke tanah air tercinta.

Sampai di Sapporo Station terus pergi ke kedai Kinotoya nak beli cheese tart walaupun perut dah kekenyangan sangat-sangat. Hari last day di sini. Nak tak nak kena beli juga. Tapi hampa, sampai saje kedai dah tutup. Kempunan wife aku. Kesian dia. Memang beria dia nak makan cheese tart tu. Ramai kata sedap. Lagi sedap dari yang kat Malaysia katanya.

Dengan hati yang kecewa terus pergi ke platform ambil train balik ke hotel. Terpaksa tunggu lama sikit sebab kitorang dah lepaskan train awal semata-mata nak beli cheese tart yang tak dapat tu. Kesian wife aku. 

Sampai di hotel terus kemas beg. Settle ape yang patut, lepas tu tido. Hari ke lapan.

Perbelanjaan hari ke-tujuh:

1. Fridge magnet - JPY 1,232
2. Susu coklat - JPY 400
3. Keropok  - JPY 1,050
4. Lunch - JPY 2,117
5. Subway - JPY 250 x 2 = JPY 500
6. Ramen - JPY 2,631

Total - JPY 7,930